Ini hanyalah sekadar pendapat-pendapat yang selalu berkecamuk dalam fikiran aku. Jika ada apa-apa kekhilafan segera tinggalkan komen di ruangan di bawah. Semoga kita boleh sentiasa ada percambahan idea.

Atiqah Lott

Atiqah Lott
Hidup ini isinya penuh dengan pelbagai fi'il. Kandungannya ada berbagai-bagai rupa. Terdiri dengan variasi keadaan. Ada yang menyenangkan hati. Ada juga yang menyelinapkan rasa-rasa kecewa dalam hati terhadap bumi Tuhan. Jalannya hanya satu. Iaitu dengan melalui semua itu. Kerana di situlah Tuhan akan menangkan yang hak. Dan memusnahkan yang batil.

Friday, May 12, 2023

TONGKRONG

Ada helaian kitab belum habis dijamah isi,

punya longgokan tugasan masih tak terlangsai lagi,

idea mencurah-curah selebat hujan musim tengkujuh,

masih, tempayan tidak kusorong ke tengah untuk menadah, lalu mengeluh.

 

Ada urusan mustahak masih tergendala.

Ada jendela belum dibuka luas.

Ada minda yang tak sempat dicuci.

Dan ada tanah belum digali.

Ada hajat belum kesampaian,

Kerana dendam pun masih tak terbalas.

 

Ada iri dan hasad yang berbaki,

rancak, bertubi-tubi mewarnai hitamnya hati,

ada hasrat yang terpejam lemah,

berkabung dan lalu rebah.

 

Belum lagi aku menyongsong akar lalu mencabutnya.

Kerana kudrat di lengan tak upaya terbina.

Belum sempat aku khabarkan berita gembira,

Sudah angin-angin tangisan dahuluan mendepani denai derita.

 

Sayup-sayup bunyi kemanisan sengaja digemakan,

Namun yang zahir di hadapan hanyalah gegak gempita tidak bervisual.

 

Sore,

bukan lagi cuaca yang aku gemarkan,

teh panas dan kraker tawar sudah jarang dikudap,

juga titis-titis peluh sudah lama tak membungkus tubuh,

menggegar otot tika haba mentari mengalir rembang.

 

Lewat dinihari,

bukan lagi waktu penuh liku untuk kuketagih,

yang rumit dan sulit mengemis demi sejoreng ilham,

tetapi sekadar menguis-nguis betis,

mengusir hingar sang nyamuk,

tanpa mengoles sebarang kata.

 

Subuh,

aku bangkit pagi,

aku di situ lagi,

di birai ranjang,

merenung, menarik hela panjang,

kerana umpamanya jemariku tak bersendi ,

ibarat darahku mengalir menyongsang arus,

sepertinya aku hanyalah sekadar bengkarak.

 

Aku semacam sudah kalah dengan hidup,

tiada sebarang yang terhasil,

tiada molek yang terpancar,

hanya susukku tongkrong canggung dan kaku,

berilusi melayan arena materi.

 

Sial!

Aku tak boleh kalah!

Kitab masih di sisi,

Ayuh!

Buka dan jamah kembali!

No comments:

Post a Comment