Ibarat dunia apakah ini,
yang kita diami kini,
pabila yang dahulunya megah,
sudah kian bacul makin begah.
Zaman apakah ini?
inti-inti gamang dan gerun mula menguasai,
anehnya, peri keperwiraan qiam dalam kuburan,
kita bersorak-sorai untuk kekecutan jiwa
dan keberanian nurani dipulaukan.
Semacam dunia manakah yang kita duduki?
pabila yang batil ditegakkan haknya,
pabila yang hak itu telah mati,
sewaktu malu dan canggung menyarung sosok suci bersahaja,
serta berbangga menyelubungi zat-zat palsu dan sangsi.
Selaluku berbisik-bisik pada jiwaku sendiri,
dunia ini pentas yang pelik,
arusnya sudah berpusing terbalik,
berdikit sahaja berasa jelik,
yang lainnya sudah tiada lagi endah peduli.
Terkadang aku menguakkan kata hati,
dunia kini bukan lagi gelanggang untuk sang berani,
bukan lagi perlu berbaju besi,
asal punya wang di sana sini,
kuasa sudah dimiliki,
kini Tuhan tidak perlu lagi,
kiblat juga sudah berganti.
Dunia ini benar dunia yang lain,
kerana ketika kecil,
gerun nian aku dengan hurungan si kecil berwarna merah itu.
Kini,
aku hanya mampu menjadi perindu,
Semut merah pun sudah tidak menggigit lagi.