Ini hanyalah sekadar pendapat-pendapat yang selalu berkecamuk dalam fikiran aku. Jika ada apa-apa kekhilafan segera tinggalkan komen di ruangan di bawah. Semoga kita boleh sentiasa ada percambahan idea.

Atiqah Lott

Atiqah Lott
Hidup ini isinya penuh dengan pelbagai fi'il. Kandungannya ada berbagai-bagai rupa. Terdiri dengan variasi keadaan. Ada yang menyenangkan hati. Ada juga yang menyelinapkan rasa-rasa kecewa dalam hati terhadap bumi Tuhan. Jalannya hanya satu. Iaitu dengan melalui semua itu. Kerana di situlah Tuhan akan menangkan yang hak. Dan memusnahkan yang batil.

Friday, May 12, 2023

Semut Merah Pun Tidak Menggigit Lagi

Ibarat dunia apakah ini,

yang kita diami kini,

pabila yang dahulunya megah,

sudah kian bacul makin begah.

 

Zaman apakah ini?

inti-inti gamang dan gerun mula menguasai,

anehnya, peri keperwiraan qiam dalam kuburan,

kita bersorak-sorai untuk kekecutan jiwa

dan keberanian nurani dipulaukan.

 

Semacam dunia manakah yang kita duduki?

pabila yang batil ditegakkan haknya,

pabila yang hak itu telah mati,

sewaktu malu dan canggung menyarung sosok suci bersahaja,

serta berbangga menyelubungi zat-zat palsu dan sangsi.

 

Selaluku berbisik-bisik pada jiwaku sendiri,

dunia ini pentas yang pelik,

arusnya sudah berpusing terbalik,

berdikit sahaja berasa jelik,

yang lainnya sudah tiada lagi endah peduli.

 

Terkadang aku menguakkan kata hati,

dunia kini bukan lagi gelanggang untuk sang berani,

bukan lagi perlu berbaju besi,

asal punya wang di sana sini,

kuasa sudah dimiliki,

kini Tuhan tidak perlu lagi,

kiblat juga sudah berganti.

 

Dunia ini benar dunia yang lain,

kerana ketika kecil,

gerun nian aku dengan hurungan si kecil berwarna merah itu.

 

Kini,

aku hanya mampu menjadi perindu,

Semut merah pun sudah tidak menggigit lagi.

No comments:

Post a Comment