Ini hanyalah sekadar pendapat-pendapat yang selalu berkecamuk dalam fikiran aku. Jika ada apa-apa kekhilafan segera tinggalkan komen di ruangan di bawah. Semoga kita boleh sentiasa ada percambahan idea.

Atiqah Lott

Atiqah Lott
Hidup ini isinya penuh dengan pelbagai fi'il. Kandungannya ada berbagai-bagai rupa. Terdiri dengan variasi keadaan. Ada yang menyenangkan hati. Ada juga yang menyelinapkan rasa-rasa kecewa dalam hati terhadap bumi Tuhan. Jalannya hanya satu. Iaitu dengan melalui semua itu. Kerana di situlah Tuhan akan menangkan yang hak. Dan memusnahkan yang batil.

Friday, March 4, 2016

Perihal Selipar Besar.


Assalamualaikum.!
Salam 2.6 billion!

:)


Nampaknya kita sudah berada pada tahun yang baharu - 2016 dan belum lewat lagi rasanya untuk aku mengucapkan Selamat Tahun Baharu. Moga-moga segala impian dan azam tahun baharu kita akan diapai dan menjadi satu yang nyata.

Sebenarnya, ada banyak perkara ingin aku rungkaikan dalam entri kali ini. Tetapi masih cantik tersusun dalam bentuk draft. Cadangnya aku berkira-kira untuk rampaikan kesemua tulisan itu menjadi sebuah zine. Jadi, rasanya aku terasa sangat malas untuk tuliskan dalam blog. Namun, ada juga karya-karya yang aku rasa sesuai, aku akan masukkan dalam blog ini pada entri akan datang.

Shoot! Baiklah. Perihal selipar besar bukanlah satu perkara yang berat. Namun, aku cukup suka untuk kongsikan perihal dan falsafah di selipar besar yang aku sering pakai.

Selipar aku yang satu ini warnanya biru. Aku tak tahu biru firus ke, biru matelik ke, atau biru turquoise sekalipun. Yang pastinya warnanya nampak biru. Selipar getah ini berjenama Fipper yang aku beli kerana ketika sudah menginjak ke tahun kedua pengajian ini, aku  fikir aku sudah tidak rajin lagi untuk sentiasa memakai kasut bertutup walaupun ketika ke kelas.

Selipar ini sebenarnya antara jenis sepatu yang dilarang untuk dipakai ketika kita ingin ke kelas mahupun ke mana-mana terutamana di dalam kawasan atau bangunan di kampus. Namun, UMlah sebenarnya antara universiti yang paling 'berlembut' dan berkompromi kerana tidak terlalu mementingkan pemakaian pelajar ketika ke kelas berbanding universiti lain seperti di UiTM. Ini bukan aku yang katalah. Semua ini kerana diberitahu oleh seorang pensyarah yang bagi aku sangat 'poyo'  setelah menegur aku kerana hanya memakai selipar ketika ingin menjawab ujian dalam talian di sebuah makmal komputer. Beliau tidak mengajar aku, tetapi hanya menjadi pengawas ujian menggantiku pensyarah sebenarku yang mengerjakan umrah. Beliau juga ada menyentuh dengan bertanyakan tentang negeri asalku untuk mengaitkan punca aku memakai selipar. Macamlah aku tak tahu. Jika tidak, masakan dia ingin bertanya aku tentang asal-usulku. Selepas aku melontarkan jawapan 'Ipoh', dia sepertinya terkejut. Ya, mungkin ingin mengandaikan aku berasal dari kawasan pedalaman, maka bolehlah dia berinferens sendiri tentang punca aku memakai selipar!

Tetapi, itu bukan apa yang ingin aku nukilkan sekarang ini. (Cerita di atas hanyalah untuk aku kongsikan bagaimana pemikiran seorang yang bergelar pensyarah  dengan persepsi dia terhadap seorang pelajar yang tidak mementingkan pemakaian yang nampak kemas dan cantik)

Perihal berselipar besar ini terjadi kerana ramai yang suka bertanyakan ini tatkala melihat aku melangkah malas dengan sarungan selipar yang aku pakai.

"Kaki kamu saiznya berapa? Kenapa selipar kamu tu saiznya besar?"

Ya, saiz selipar aku lebih besar daripada saiz kakiku sendiri.

Tatkala aku membeli selipar ini, aku merasakan saiz 8 tidak memberikan keselesaan walhal saiz itu sudah muat dengan kaki aku. Namun, aku mengambil keputusan untuk membeli dan menyarung selipar bersaiz 9.

Entah kenapa, aku memang selesa dengan keadaan ini.

Jadi, aku mula mencari falsafah di sebalik kenapa aku memakai selipar bersaiz besar.
Akhirnya aku terfikir satu teori yang rasanya boleh 'masuk akal' dengan situasi ini. Ramai wanita tidak kira muda mahupun yang sudah menginjak usia emas kadangkala menggemari dengan golongan berlainan jantina yang tubuhnya lebih besar daripada mereka. Lebih tinggi dan jika kita ikut 'trend' sekarang, lebih sado. Tetapi yang pastinya teori ini tidak membabitkan aku kerana aku bukan minat sangat dengan hal ehwal kriteria pemilihan lelaki idaman ini.

Bila ditanya mengapa kriteria ini dipilih, rata-rata kawan-kawan aku yang menjawab pasti kerana lelaki itu sifatnya melindungi.(Maaf, ini persepsi mereka. Maaf sekali lagi bagi para feminis di luar sana, ya)

Ya, sifat yang melindungi ini seharusnya diselarikan dengan memiliki tubuh badan yang besar, tinggi dan tegap. Benar juga. Cuba gantikan subjek lelaki dengan subjek pertahanan kubu ketika perang. yang mana lebih besar itulah yang sukar untuk dikalahkan. Kalau badan kecil, bagaimana pula ingin melindungi pasangan atau isteri yakni wanita yang dikatakan kononnya golongan yang 'lemah'itu, bukan?

Nah, begitulah teori itu aku cuba selaraskan dengan pemilihan aku untuk menyarung selipar bersaiz 9. Dengan selipar bersaiz lebih besar daripada saiz kakiku, aku merasakan bahawa seliparku mampu melindungi kakiku. Dan yang paling mustahak ialah selipar ini sungguh memberikan keselesaan ang boleh aku berasa lega terutamanya terhadap kakiku.

Hatta, itulah sebenarnya yang ingin aku cuba kaitkan sekali.
Carilah perkara-perkara atau subjek-subjek yang selalu kita guna hampir setiap waktu yang boleh memberikan keselsaan kepada kita. Contohnya, selipar atau sepatu yang kamu sarung setiap hari itu dipakai hanya untuk nilai estetik atau nilai kecantikan ketika disarung sahaja, namun fungsinya masih bobrok dan akhirnya mengundang kepada kemudharatan dan ketidakselesaan atau paling celaka sekali ialah kecelakaan yang timbul selepas itu. Sudahnya, masalah juga yang menimpa kita.

Maka, apa yang boleh sekali lagi aku ungkapkan ialah jadilah seseorang yang lebih terdorong untuk menjadi selesa untuk cantik pada diri sendiri. Jangan jadi sekadar cantik untuk menjadi selesa di mata orang.

Akhir sekali, ini bukanlah pesanan buat kalian agar pilih selipar yang lebih besar daripada saiz sebenar kalian. Namun, sekadar titipan supaya kita semua mula menghargai kembali frasa 'selesa' untuk diri sendiri. Biarpun kadangkala, pilihan kita tidak selari dengan idea-idea dan pendapat awam.

Salam. Selamat.


No comments:

Post a Comment