Ini hanyalah sekadar pendapat-pendapat yang selalu berkecamuk dalam fikiran aku. Jika ada apa-apa kekhilafan segera tinggalkan komen di ruangan di bawah. Semoga kita boleh sentiasa ada percambahan idea.

Atiqah Lott

Atiqah Lott
Hidup ini isinya penuh dengan pelbagai fi'il. Kandungannya ada berbagai-bagai rupa. Terdiri dengan variasi keadaan. Ada yang menyenangkan hati. Ada juga yang menyelinapkan rasa-rasa kecewa dalam hati terhadap bumi Tuhan. Jalannya hanya satu. Iaitu dengan melalui semua itu. Kerana di situlah Tuhan akan menangkan yang hak. Dan memusnahkan yang batil.

Wednesday, February 1, 2017

Tingkah Keletah di Restoran Makanan Segera.

Hai, Assalamualaikum.

Sebelum aku mendakwatkan pena inkuiri aku, ingin sekali aku meniup-niup habuk-habuk yang melekat di blog aku ini. Kiranya inilah gaya standard yang perlu dilakukan ketika blog yang sudah lama tidak dikunjungi disapa kembali.

Lama juga ya tidak menjengah blog aku ini. Benar, minda aku juga sudah berkarat dengan lebihan memori tatkala aku menghafal segala teori dan formula pembelajaran semester lalu.

Ah, kali ini, izinkan aku memuntahkan isi blog dengan menggunakan medium Bahasa Melayu yang lebih rapi. Entah kenapalah aku mula merinduinya. Rasanya lebih molek untuk aku seimbangkan penggunaan bahasa aku dalam blog. Kalau katanya mahu belajar, kedua-dua bahasa ini masih lagi aku terangkak-rangkak mempelajarinya. Benar, kawan, siapa kata belajar bahasa itu mudah.

Jangankan Bahasa Inggeris yang kau kata bahasa penjajah itu, bahasa sendiri pun kadangkala kau 'terbodoh-bodoh' menuturkannya apatah lagi menulisnya. Kadangkala aku masih ganjil dengan orang pesimis di sekeliling kita. Sudahlah gaya bahasa yang mereka guna itu lebih bertaraf rendah daripada bahasa pasar, ada hati pula memperkecil usaha orang-orang yang berusaha untuk mempelajari bahasa terutamanya orang yang mengambil kursus Pengajian Bahasa Melayu di peringkat tertier. Celakalah mereka!

Eh?
Maaflah, inilah antara tabiat aku. Gemar benar menyimpang daripada objektif asal.

Begini, kisah sebenar yang ingin aku ceritakan.


Sebenarnya aku sekarang sedang menghabiskan baki-baki cuti semester aku sebelum aku kembali ke kampus untuk meneruskan misi semester keenam aku. Jumaat lepas, aku ke Kuala Lumpur kembali untuk menguruskan beberapa urusan di kampus. Aku kembali ke Ipoh pada hari yang sama dengan menaiki bas. Sebenarnya, aku lebih sukakan perkhidmatan ETS yang mana Stesen Kereta Api Ipoh lebih berhampiran dengan kediaman aku dan jauh lebih selesa sebenarnya.

Masa perjalanan pun lebih singkat. Tetapi, percayalah, kita tak akan pernah dapat membeli tiketnya pada minit-minit terakhir. Sudahlah waktu itu ialah musim perayaan untuk perayaan Tahun Baharu Cina, maka berduyun-duyunlah orang ramai pulang ke kampung halaman. Oleh sebab itu, aku mengambil keputusan untuk beralih kepada perkhidmatan bas.

Jadi, hendak dijadikan cerita, aku berjaya juga membeli tiket bas kerana jika lambat, kemungkinan besar kelak, aku pula yang terpaksa tidur di terminal bas itu nanti. Bas aku dijadualkan bertolak pada jam 3.30 petang. Aku pula, sesudah sahaja urusan aku selesai lebih kurang jam 12.30 tengahari, lantas aku segera ke Terminal Bersepadu Selatan kerana aku takut aku pula yang lewat.

Usai aku menjejakkan kaki di terminal tersebut, aku terus ke tingkat atas terminal. Lapar. Aku tidak menanti lama untuk berfikir-fikir hendak makan di mana. Tidak seperti di KL Sentral, restoran dan kiosk makanan di situ agak terhad. Pilihan tidak banyak. Aku terus ke hujung blok. Ya, ada KFC di situ.

Aku belek lengan untuk memeriksa masa. Jam sudah mengunjuk waktu 1.30 tengahari. Ada masa lagi, walaupun dari kejauhan aku sudah dapat mengagak yang aku akan beratur lama untuk membeli makanan. Namun, apa yang aku boleh jangkakan? Kalau sudah namamya musim perayaan, pastinya kawanan manusia membanjiri terminal hub pengangkutan di Kuala Lumpur ini. Tak mengapalah.

Lalu, aku pun ikut sama beratur. Lebih kurang 45 minit kemudian, barulah aku dapat memesan makanan aku. Seusai aku membuat pembayaran, mata aku meliar mencari tempat duduk kosong. Mujurlah aku sempat menangkap satu kawasan yang agak terpencil ini. Mejanya kosong. Bagus!

Dengan segera aku ke tempat duduk tersebut, letak beg, basuh tangan, kembali duduk, membaca bismillah dan suapkan makanan.

Aku ingatkan aku dapatlah duduk dan memerhati para masyarakat dengan harmoninya dan penuh aman. Namun, banyak pula episod yang mecarikkan hati aku terhadap masyarakat kita di Malaysia ini terutama sekali apabila kita sudah pun menginjak ke tahun 2017. Lain benar rasanya. 3 tahun lagi, 2020 menyapa kita. Tidak lama lagi. Sepelaung sahaja lagi.

Bagi yang tidak mempercayai ilusi Wawasan 2020, aku faham. Ya, penglihatan aku pun masih samar-samar terhadap isu ketersampaian pencapaian wawasan yang satu ini. Walaubagaimanapun, aku pasti yang ramai juga masih percaya dengan status negara maju yang memang sukar tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Banyak negara impikannya! (Aku malas pula bila masuk bab eknomi, baiklah aku berhenti di sini. Nanti tak habis cerita yang aku ingin nukilkan).

Antara salah satu kriteria yang memungkinkan kita menjadi negara yang lebih bertamadun, bukanlah sekadar menerusi pencapaian kita terhadap pertumbuhan ekonomi negara, kawan! Mentaliti masyarakat juga! Disiplin juga! Kesedaran sosial kita juga dikira!

Tetapi, apa hal pula dengan tingkah laku masyarakat kita tatkala sudah pun menghabiskan makanan, maka dengan senang hatinya kita meninggalkan sisa-sisa serta pembungkus makanan di atas meja tanpa membuangnya ke dalam tong sampah dan mengemas meja yang kita gunakan kembali seperti yang aku saksikan waktu itu? Apakah restoran makanan segera itu memiliki seorang pelayan yang akan terus memberikan perkhidmatannya ke meja kita? Serasaku, kita semua tahu, restoran makanan segera kebanyakannya berkonsepkan layan diri. Serasaku, kita juga semua maklum bahawa kerja mereka bukannya termaktub untuk melakukan itu semua. Itu restoran makanan segera. Konsepnya layan diri, maka segala-galanya harus dilakukan sendiri.


Justifikasi aku begini.
  • Semenjak Cukai Barang dan Perkhidmatan atau CBP atau lebih mudah dikenali sebagai GST sebanyak 6% telah dilaksanakan oleh kerajaan, kita harus maklum bahawa cukai itu sahaja yang bakal kita bayar di restoran-restoran yang mengemukakan GST dalam sistem pembayaran mereka. Walaubagaimanapun, hanya sesetengah restoran sahaja yang bakal mengenakan caj tambahan untuk perkhidmatan. Harus diingat, caj ini tidak dikenakankan oleh kerajaan tetapi caj ini merupakan pilihan bagi satu-satu restoran sama ada ingin mengecaj pelanggan atau tidak. Sebenarnya, caj ini bertujuan untuk memberikan tip kepada pelayan yang bekerja di restoran itu. Kalau di luar negara, selalunya para pelanggan memang terbiasa dengan memberikan tip terus kepada pelayan tetapi tidak di Malaysia. Disebabkan itu, caj ini diperkenalkan. Dengan itu, kebanyakan restoran yang kita pergi, pasti akan menampal satu notis mengatakan selain cukai 6% untuk GST, harga makanan juga mengikut caj tambahan sebanyak 10% untuk caj perkhidmatan. Caj ini bergantung kepada restoran juga, ada yang mengecaj sebanyak 10%, ada juga yang mengecaj sebanyak 5%. Bergantung kepada restoran itu! 

  • Restoran yang aku katakan tentang caj perkhidmatan ini tidak termaktub kepada restoran-restoran berkonsepkan QSR (Quick Service Restaurant) ataupun restoran berkonsepkan perkhidmatan segera atau selalunya dikenali sebagai restoran makanan segera. Restoran-restoran ini termasuklah restoran yang kalian selalu sangat makan seperti McDonald's, KFC, Burger King dan lain-lain. Kenapa aku kata begitu? Kerana restoran ini, seperti yang aku beritahu dari awal lagi, berkonsepkan layan diri. Mereka sepatutnya tiada pelayan yang memberi perkhidmatan terus ke meja kalian tetapi hanya terhad kepada perkhidmatan di kaunter. Kecuali ada pekerja yang ditugaskan untuk menyapu sampah dan mengemop lantai (Janitorial team). Itu disebabkan memang untuk menjaga kebersihan restoran dan bukannya tukang mengangkat sisa makanan kita! Sebab itu, kita harus ke kaunter untuk memesan makanan. Restoran ini bukan restoran mamak yang mana kalau mahu pesan mi goreng mamak, kita terus mengangkat tangan, lalu menyebut "Anney, mi goreng mamak satu, telur dadar 2!". Bukan! Jadi, apa halnya pula kita bertelatah seolah-olah restoran yang kita kunjungi itu semacam memiliki pelayan yang bakal mengangkat sisa-sisa dan pembungkus makanan yang ditinggalkan di atas meja? 

  • Lagi satu, kalaulah tatkala kamu makan di restoran makanan segera itu, waktu puncak dan sudah ramai orang mula membanjiri restoran tersebut, kamu pun meninggalkan restoran tersebut dengan sampah-sarap di atas meja. Dan 'pelayan' untuk menguruskan sampah tersebut gagal datang menguruskannya kerana terpaksa melayan pelanggan lain yang lebih ramai di bahagian kaunter. Bukankah perbuatan tersebut telah menyukarkan orang lain untuk menyelesaikan sampah yang kamu tinggal itu yang mana mereka tiada kena mengena pun itu. Bukankah itu pentingkan diri sendiri namanya?    

Di manakah kesedaran sivik kita! Mana? Di celah kangkangkah? Atau di celah gigi? Adakah kesedaran sosial sivik kita sekadar berdegar-degar di mulut, namun tidak ditonjolkan menerusi tingkah laku? Inikah masyarakat yang mengimpikan landskap politik yang lebih indah, nilai ringgit yang lebih tinggi namun, perlakuan sosial kita masih terkebelakang? Inikah yang kita mahu?

Aku pun masih menggaru-garukan kepala memikirkan sebegini rupa cerminan masyarakat kita. Aku bukanlah apa, tetapi aku hanya ingin perbetulkan pemikiran kita yang selama ini masih tidak mengerti apakah yang betul dan tidak betul untuk dilaksanakan di tempat khalayak. Hal ini kerana, tugas pekerja di restoran makanan segera bukanlah membersihkan meja dan sisa-sisa makanan yang kalian sudah lakukan. (Gaji mereka pun tidaklah setimpal mana, inikan pula untuk mendapatkan gaji minimum. Kalah mereka daripada pekerja asing, ya!)

Tong sampah yang disediakan itu bukanlah sekadar dijadikan sebagai hiasan semata-mata. Sudah tentulah fungsinya menjadi tong sampah. Membekalkan ruangan untuk sampah-sampah yang bukanlah orang lain bikin tetapi kita sendiri. Aduh! (Tepuk dahi).

Sebenarnya, adegan-adegan ini bukanlah satu yang baharu dalam radar penglihatan aku. Kadangkala, yang aku lihat, nampak seperti orang yang berpendidikan dan sepertinya maklum dengan mentaliti kelas pertama, namun telatahnya masih sama. Tinggalkan sisa makanan terus di situ, di atas meja itu dan barangkali dalam fikirannya sudah terpaku pemikiran yang kerja selepas ini ialah kerja 'pelayan' restoran makanan segera.

Ya, benar. Kadangkala kita, sang masyarakat yang kononnya moden, yang kononnya sudah berada di era yang memiliki peradaban tinggi ini tidaklah bertamadun mana. Mungkin kita boleh mengatakan teknologi yang kian sofistikated itu sendiri memacu kepada ketamadunan yang lebih membanggakan, namun sayangnya keperibadian, tingkah laku dan gerak geri kita telah menarik kita kembali ke belakang dan perangai kita tidak ubah sekadar manusia yang hanya bengkarak, tiada isi dan tiada minda untuk berfikir.

Barangkali pasti ada yang mempersoalkan kembali persoalan yang aku timbulkan ini.

Kenapalah pula aku sibuk-sibuk mahu membetulkan sikap ini?

Dan kenapalah aku sibuk-sibuk dengan sistem percukaian GST ini. Yalah, bukankah ramai benar yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengenakan cukai sebegini? Isu ini tidaklah mahu aku sentuh kerana itu perlukan entri lain pula untuk mengupasnya berserta beberapa bukti terperinci. Walaubagaimanapun, haruslah diingat, akhirnya cukai-cukai yang dibayar mesti diagihkan kembali kepada masyarakat. Pembinaan hospital itu, pembinaan sekolah di kawasan ini, pemberian pinjaman buku teks percuma, dan pelbagai lagi walapupun didakwa jumlahnya tidak diperjelaskan dalam bentuk sebarang impak terhadap kos sara hidup rakyat.

Walaubagaimanapun, GST ini pada akhirnya, itulah juga yang dibangga-banggakan kerana jumlah itulah juga penentu hasil kerajaan menerusi hasil cukai tidak langsung. Kerana seperti yang kita sedia maklum, secara teorinya, hasil meningkat, seharusnya perbelanjaan dan pengagihan turut meningkat melainkan hasil itu dimasukkan sedikit ke dalam saku para menteri. *Ops*.

Tidaklah pula aku menyuruh kalian untuk berdiam dan qiam dengan situasi sekeliling. Untuk tidak ambil tahu. Untuk tidak menurut serta. Namun, alasan sistem percukaian yang tidak utuh bukanlah satu alasan pun untuk menidakkan peranan sosial masing-masing. Bayar cukai, bayar juga Tapi, perangai juga kena jaga!

Aku tidaklah pula mahu menyentuh isu sistem percukaian sedia ada, kerana setiap yang dilaksanakan ada pro dan kontranya. Tetapi, aku mahu mengajak masyarakat kita ini. Daripada terus jauh terperosok ke dalam lembah bobrok akibat sifat ignoran dengan kesedaran sivik masing-masing dan pembangunan sahsiah terhadap situasi sosial yang mula melemah. Apalah yang tinggal dan nilainya sekiranya pembangunan ekonomi di negara ini berterusan berkembang, nilai ringgit makin kukuh, landskap politik tidak lagi goyah dan kos sara hidup seiring bergerak mengekori inflasi yang stabil, walhal pembangunan mentaliti yang membentuk jati diri, disiplin dan sivik masih di takuk lama. Jika dalam kes ini, bermula daripada peranan sebagai ahli sosial yang bertanggungjawab di restoran makanan segera.

Benar, jika tidak percaya dengan Wawasan 2020, tetapi sekurang-kurangnya percayalah kepada keadaan Malaysia yang lebih mapan. Percayalah kepada kuasa pemikiran kelas pertama. Percayalah kepada tingkah laku yang baik. Percayalah kepada sivik dan kesedaran sosial. Dan percayalah yang kita mampu berubah.

Kerana setidaknya, dalam beberapa tahun lagi jika belum masanya lagi untuk kita mencapai pendapatan perkapita yang sewajarnya untuk menjadi negara maju, kita masih boleh menjadi masyarakat yang maju siviknya. Jika tidak pada kecintaan untuk membaca, sekurang-kurangnya sivik di restoran makanan segera.

Tidak sukar, bukan?


 Tinggal dulu.

Sang Atiqah, 2017.
Sedang cuba menyelesaikan isu sisa makanan di rumah untuk dijadikan kompos pula. :P

1 comment: