Ini hanyalah sekadar pendapat-pendapat yang selalu berkecamuk dalam fikiran aku. Jika ada apa-apa kekhilafan segera tinggalkan komen di ruangan di bawah. Semoga kita boleh sentiasa ada percambahan idea.

Atiqah Lott

Atiqah Lott
Hidup ini isinya penuh dengan pelbagai fi'il. Kandungannya ada berbagai-bagai rupa. Terdiri dengan variasi keadaan. Ada yang menyenangkan hati. Ada juga yang menyelinapkan rasa-rasa kecewa dalam hati terhadap bumi Tuhan. Jalannya hanya satu. Iaitu dengan melalui semua itu. Kerana di situlah Tuhan akan menangkan yang hak. Dan memusnahkan yang batil.

Thursday, January 23, 2014

CERITA PENDEK: Catitan Pendek Seorang Man Bahagian I

Sudah lama aku ingin merajinkan jemari aku menulis dalam buku ini. Rasanya, ini sudah masuk kali kelima aku berhasrat untuk teruskan penulisan dalam catatan tanpa tarikh ini. Kenapa? Aku rasa aku bukanlah seorang yang terlalu pentingkan masa walaupun aku tahu yang masa ini penting buat kita para manusia. Lagi pula, aku kadangkala terlupa tarikh dan bukanlah seorang yang teliti terhadaps semua perkara. Lelaki kan selalu begitu? (Aceceh.. aku menceceh penuh ilmiah pulak). 

Dan oh ya, kenapa secara tiba-tibanya aku mula menulis bagaikan menulis sebuah diari ini? Entah, jawapan untuk soalan itu aku tidak mampu berikan dengan semuktamadnya. Aku kurang pasti. Mungkin aku sudah jumpa dengan hobi terbaharu aku yang tidak lama kemudian akan mencambahkan bibit-bibit kebosanan dan aura keghairahan untuknya mula berkurangan lalu aku tidak akan lagi komited terhadapnya. Ataupun disebabkan insiden yang berlaku lima hari lepas. Tentang apa? Aku akan ceritakanlah lepas ini. (Maafkan aku kerana selalu menimbulkan persoalan dalam penulisanku. Sedangkan yang menulisnya aku. Yang menimbulkan persoalannya aku. Yang berceritanya aku. Dan yang memberikan jawapannya juga aku. Kenapa harus ada ‘kenapa?’ ‘apa?’ dan ‘bagaimana?’..Ehhh aku masih melakukannya sekarang. Lebih baik aku berhenti. )

Kembali kepada kisah yang ingin aku ceritakan. Insiden ini terjadi ketika aku ingin membuat salinan kad pengenalanku di koperasi sekolah untuk hal-hal berkaitan pengurusan data murid. Eh? Aku belum beritahu lagi ya? Aku sebenarnya seorang pelajar sekolah yang berumur 18 tahun. Tentu kalian berasa hairan menagapakah usiaku ini terlalu tua untuk sekolah. 

Kalian jangan terlalu cepat alpa ya.. Malaysia masih lagi mempunyai satu lagi saluran pembelajaran pra-universiti sebelum seseorang itu melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah sarjana muda iaitu Tingkatan Enam. Oleh kerana ibuku melihat keputusan peperiksaan SPM aku agak mengecewakan, (bagiku keputusan tersebut masih boleh menempatkan aku ke mana-mana saluran selain STPM walaupun tidaklah semuanya A, tetapi hati ibu tetap runtun dan seolah-olah tidak mampu menerima kenyataan yang anaknya ini bukanlah salah seorang penerima hadiah keputusan SPM cemerlang di sekolahku. ) ibu masih enggan membenarkan aku untuk melanjutkan pelajaran ke tempat-tempat yang memerlukan aku berjauhan daripadanya walaupun sebenarnya pengajian untuk diploma ada sahaja disekitar bandar tempat aku tinggal dan tidak memerlukan aku untuk tinggal di asramanya tetapi diploma pula bukanlah pilihan ibu. Kadang-kadang aku pun terfikir yang adakah aku atau ibuku yang akan belajar. Atau adakah aku atau ibuku yang bakal mencorakkan masa depanku. 

Dan aku juga pernah melangkau jangkaan sehinggakan aku terfikir jika ibu terus-terusan memutuskan segala-galanya sehinggakan jenama pensel mekanikal untuk aku gunakan pun masih dipilih ibu, adakah  kehidupan aku akan berkahir sama seperti ibuku? Seorang janda yang diceraikan oleh lelaki yang juga kawan di bangku sekolahnya dahulu kerana ingin mengikut seorang wanita yang lebih muda yang berasal dari Lombok, Indonesia. Kasihan bukan, bapaku?  (Aku sebenarnya terasa geli-geleman juga tatkala menaip perkataan bapaku). Aku pernah bertanyakan ibuku tentang punca bapa meninggalkan ibu adakah disebabkan bapaku telah dibomoh oleh isteri baharunya itu sehinggakan dia kini telah menjadi sebahagian daripada penjual barang mainan di sebuah kampung di Lombok sana atau sememangnya wanita tersebut seorang yang menawan dan ayu sehinggakan ibuku yang masih cantik dan ‘bergetah’ walaupun usianya sudah menjangkau 40’an juga ditolaknya mentah-mentah. Sebaliknya, ibu memarahiku kembali dan menyuruh aku berkata yang baik-baik sahaja terhadap bapa. Apa-apa pun yang terjadi, yang menceraikan ibuku tetap bapaku. Dan aku tidak harus berkata atau mengesyaki apa-apa yang buruk terhadapnya. Kadangkala, aku kasihankan ibuku kerana dialah ibu dan dia juga tepaksa menjadi bapa untuk aku dan kakakku yang kini masih menjadi mahasisiwi tahun kedua di UKM dalam bidang Matematik. 

Dia terpaksa membuat pelbagai pekerjaan ketika kami tiga beranak berada dalam fasa jerih kesukaran. Kepayahan hidup itulah membuatkan ibu terus berusaha sehingga kini mampu membuka sebuah kedai barangan perhiasan rumah. Aku tahu dia juga sebenarnya masih sayang akan bapaku. Siapa yang tidak terasa dengan ketidakbertanggungjawaban bapa jika ibu kita ditinggalkan terkontang –kanting tanpa sebarang nafkah. 

Tetapi, kadangkala aku juga berasa sungguh geram dengan kata putus ibu yang langsung tiada nada tanpa kompromi serta ingin dibawa berbincang. Sehinggakan aku sering berniat jahat dengan kadangkala mentertawakan nasib ibu si ibu tunggal yang sehingga hari ini meniti hari tua tanpa teman di sisi. Namun, sebentar sahaja gurauan minda nakal itu singgah di fikiranku kerana bila aku teringat kembali nasihat ibu,

Teruk bagaimanapun bapak kau tu, dia tetap bapak kau jugak Man.

Ibu turut menyambung.

Tak terkecuali jugak pada ibu kau ni.. juga pada kakak kau. Ingat. Hormat itu penting. Kalau tak ada semuanya ni .. Kau tak ada di dunia ni.

Lepas itu, aku akan berhenti berfikir sejenak. Aku akan berhenti senyum sumbing dan hatiku pula mendayu-dayu menangisi pengorbanan ibu. Bebola jernih mataku tak akan terkeluar. Cuma jiwaku sebak mengenangkan kasih dan sayang ibu yang berkorban demi kebahagiaan kami dua beradik. Untuk melihat kami berjaya. Benar kata orang. Niat jahat sebenarnya tak akan lama dalam hati seseorang bila mana kita akan terfikirkan sesuatu kebaikan. 

Ternyata aku anak yang baik bukan?



Ohh.. maafkan aku. Terlanjur bicara sehingga melalut ke laut ceritaku. Sedangkan insidenku bermula di kedai koperasi sekolah. Disebabkan koperasi agak jauh dari kelasku, jadi rakan-rakanku banyak yang mengambil keputusan untuk mengirimkan sekali untuk membuat salinan fotokopi yang kesemuanya 19 helai salinan. Hal ini bermakna, sebanyak 19 keping kad pengenalan yang aku bawa ketika itu ke koperasi. Mereka kirimkan kerana mereka tahu yang aku ialah seorang ahli kelas yang berdedikasi. Disebabkan proses untuk membuat salinan fotokopi memakan masa yang agak lama bersama-sama keadaan kekalutan dek kerana banjiran pelajar-pelajar sesi petang di dalam koperasi yang tidaklah besar mana serta ditambah pula dengan kakitangan koperasi yang cemerkap yang baru seminggu diambil bekerja menyebabkan masa yang diambil telah dipanjangkan menjadi 45 minit.

 Pasti kalian akan terfikir adakah aku akan berubah menjadi raksasa berwarna kehijau-hijauan seperti Hulk kerana terperap menanti salinan kad pengenalan siap difotokopi. Aku mengaku kerana perkara yang paling aku benci adalah menanti terhadap perkara yang tidak memberikan apa-apa keuntungan terhadapku. Namun, aku masih memiliki sifat penyabar. Dan aku juga sangat baik. Sifatku ini telah menjadi semakin kental dek kelibat seorang pelajar baharu telah membuka satu pintu perasaan yang belum pernah aku buka. Perasaan ini membuatkan hatiku mula terbuai-buai bahagia. Pelajar itu pelajar perempuan. Dia pastinya pelajar baharu, aku tahu. Lagi pula, sekolah aku merupakan sekolah lelaki. 

Namun, pelajar perempuan juga masih ada, Cuma untuk Tingkatan Enam sahaja. Jadi aku tahu yang pelajar itu pelajar baharu kerana bilangan pelajar perempuan hanya sedikit dan kesemuanya aku tahu dan kenal siapa.( Bukan bermakna aku seorang yang gatal ). Pelajar ini tak pernah kulihat lagi sebelum ini. Sewaktu dia membuka pintu untuk membeli peralatan sekolah, hati aku terus terpikat dengan caranya tersenyum ketika berurusan dengan kakitangan koperasi tersebut, lenggok gayanya berjalan yang tampak ayu dan manis, tutur bicaranya yang sederhana. Jadi, aku simpulkan bahawa gadis ini sememangnya dari kalangan yang baik-baik. Kerana gadis inilah, aku sanggup menulis demi meluahkan perasaan aku. Kerana kelibat dialah lima hari lepas, aku mula merajinkan sendi, ligamen dan tendon di bahagian jemariku ini untuk menceritakan kisahnya sehingga dinihari. Ya, kerana dialah. Membuatkan aku mula menulis diari seperti seorang perempuan. Semuanya kerana perasaan yang dahulu aku geli menyebutnya tetapi kini telah tersemat utuh dalam hati aku. (Cewah, mula berbunga ayatku.) Semuanya kerana perasaan ini. Cinta. Aku tak tahu benarkah perasaan ini namanya cinta tetapi menurut daripada apa yang pernah aku tonton dalam televisyen dan melihat daripada kisah cinta rakan-rakanku yang lain, benarlah tu. Dan ya, aku jatuh cinta.


********************************************************************
Bersambung...

No comments:

Post a Comment